Khamis, 5 September 2013

Man Raja Lawak Bangga Berlakon Bersama PM

Man Raja Lawak
Kemunculan pertama Man Raja Lawak yang juga juara program realiti terbitan Astro Raja Lawak musim ke-5 di dalam drama radio khas kemerdekaan sempena terbitan Bernama Radio24 dianggap percubaan baru Man dalam drama radio yang lebih serius.
Sebelum ini Man atau nama sebenarnya Abdul Rahman terkenal dengan lakonan dalam telemovie, drama dan filem yang menonjolkan kepakaran Man dalam berlawak dan membuatkan penonton ketawa.

Peluang untuk berlakon dalam drama radio bertajuk ‘Ikrar Perwira’ diambil oleh Man untuk keluar dari ruang dunia lawaknya dan memperlihatkan kebolehannya memegang watak sebagai Ketua Platun Inspektor Nizam dalam mengatasi isu pencerobohan di Lahad Datu Sabah.
Lebih manis, peluang Man untuk berlakon di samping Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut berlakon di dalam drama berkenaan.
Berikut ialah temubual eksklusif Mynewshub dengan Man :-
Mynewshub : Gambarkan perasaan Man apabila duduk disebelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berada di pejabat beliau merakamkan bahagian Perdana Menteri?
Man Raja Lawak : Saya berasa bangga yang teramat sangat, kalau dahulu saya kerja sebagai posmen belum tentu dapat peluang ini.
Orang boleh cakap macam-macam, Man tak lakulah.. Man itu dan ini tetapi saya hendak buktikan berapa ramai pelakon dalam Malaysia dapat peluang macam saya dengan kata-kata “Kau Ada?”
Mynewshub : Apa perasaan Man apabila berlakon di dalam sebuah drama serius bercorak patriotik jauh dari jiwa anda sebagai seorang pelawak?
Man Raja Lawak : Selain dapat memberitahu orang ramai atau pengarah yang saya juga boleh membawa watak serius, boleh menangis dan bukan hanya boleh berlakon komedi sahaja.
Kadangkala, jika kita hanya berlakon komedi sahaja, orang tidak boleh menilai kemampuan kita, jadi bila ada peluang yang baik seperti ini, memang saya takkan lepaskan.
Mynewshub : Apa pandangan Man tenteng kemerdekaan?
Man Raja Lawak : Kemerdekaan ialah satu perkara yang mesti kita jaga sebaik mungkin. Keadaan harmoni dan aman mungkin hanya pada waktu zaman kita dan generasi kita.
Keadaan ketika masa depan ketika zaman anak cucu kita, tak tahu lagi. Jadi, perasaan hormat dan cintakan negara mesti ada pada hati rakyat Malaysia supaya negara kekal aman sampai bila-bila.
Mynewshub : Jika diberi peluang adakah Man sudi berlakon dalam drama yang menampilkan versi serius Man atau Man kini memang sedang mencari drama yang menawarkan watak serius untuk dibawa?
Man Raja Lawak : Nama saya sebagai pelawak pun belum kuat, jadi saya kena fokus dulu pada melawak, buat nama dan menang mana-mana anugerah dulu.
Kemudian saya akan mencuba watak serius seperti di dalam drama radio ini.
Bagaimanapun, jika ada tawaran untuk berlakon watak serius tiba-tiba muncul saya akan ambil tawaran itu dan cuba untuk sampingan. Kita tidak tahu mana yang akan meninggalkan kesan, jadi kita cuba semua.
Drama Ikrar Perwira diterbitkan oleh Bernama Radio24 (BR24) hasil tulisan dan arahan Nizuan Hanaffi dan kini sedang disiarkan di siaran BR24 setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula 30 Ogos pada pukul 10.32 pagi dan 5.32 petang.
Siaran akan diulang-ulang sehingga tarikh Hari Malaysia pada 16 September depan.
Para pendengar boleh mendengar drama radio itu di BR24 dengan frekuensi 93.9FM di Lembah Klang dan 107.5fm di Johor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan