• Puspanita sahut seruan kerajaan
  •  Rohani bersama ahli Puspanita yang terlibat dalam program berkenaan.
Peringgit - Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) menyahut seruan kerajaan mentransformasi persatuan berkenaan selari dengan inspirasi perdana menteri.

Yang Dipertua Puspanita Kebangsaan, Datuk Rohani Abdullah berkata, kerjasama padu daripada seluruh cawangan diperlukan dalam melaksanakan pelbagai aktiviti untuk merealisasikan perkara itu.

“Ini merangkumi aspek pendidikan, kemahiran, keagamaan, kebajikan, sosial dan kesihatan yang  bertujuan menyokong dasar kerajaan.

“Ia  sejajar dengan usia Puspanita yang mencecah 30 tahun yang mana pernah disarankan oleh penaungnya  mendukung hasrat dan  aspirasi kerajaan serta negara.

“Berpaksikan dasar transformasi nasional dan usaha perkhidmatan awam, Puspanita juga bertindak memperkasakan ahli-ahlinya dengan pendekatan ilmiah untuk meningkatkan keterampilan, peranan dan sumbangan persatuan itu,” katanya ketika berucap pada program 1M4U di sini.

Hadir sama,  Pengerusi Puspanita negeri, Datin Rafeah Johari, Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri, Noor Hisamsol Md Sidik, Pengerusi Puspanita Daerah Alor Gajah, Datin Rahimah Harun dan Pengerusi Puspanita Daerah Jasin, Musliha Mustafa.

Tambah Rohani, ahli Puspanita perlu sedar bahawa mereka berperanan sebagai rakan perkhidmatan awam yang bergerak menyebarkan dasar-dasar program dan projek bantuan kerajaan di peringkat akar umbi.

“Mereka perlu mengenali kekuatan masing-masing untuk menyumbang sebagai sebuah persatuan Malaysia yang berwibawa kepada masyarakat sekeliling serta menyediakan pelan strategik mengikut garis panduan di peringkat kebangsaan.

“Saya yakin, Puspanita negeri ini sentiasa bersedia menyahut cabaran yang ditentukan oleh kerajaan itu,” katanya.

Jelasnya, dengan keahlian seramai 1,835 orang di negeri ini, persatuan itu mampu mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan aktiviti yang ditetapkan.