Khamis, 5 September 2013

Kerajaan Mungkin Perkenal Semula RON92

RON92
Kerajaan mungkin memperkenalkan semula petrol gred RON92 bagi memberi lebih pilihan kepada pengguna kenderaan di jalan raya untuk mereka menggunakan bahan api yang lebih murah.
Langkah itu kemungkinan akan diumumkan oleh kerajaan sebagai satu pilihan bagi meringankan beban rakyat, pengumuman dijangka pada 25 Oktober depan pada Ucapan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Hasan Malek semalam berkata tiada sebarang keputusan dibuat berkenaan langkah itu tetapi kerajaan sedang dalam kajian menyeluruh untuk melaksanakannya.
Menurut beliau, kajian dilakukan untuk melihat tahap keperluan pengguna ke atas bahan api petrol yang lebih murah ekoran kenaikan harga minyak RON95 yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.
Petrol gred RON92 dihentikan penggunaannya pada 2009 bagi memperkenalkan gred RON95.
Dengan kadar oktana yang lebih tinggi, bahan api akan menjadi lebih mampat dan mampu bertahan lebih baik ketika pembakaran dalam enjin.
Ketika diperkenalkan sebelum ini, RON92 digunakan oleh penunggang motosikal manakala RON97 sesuai digunakan oleh kereta mewah dan kenderaan berkuasa tinggi.
Ketika dihentikan penggunaannya, subsidi dikaji semula dan kerajaan komited mengawal harga RON95 supaya tetap murah bagi kegunaan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Langkah rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan pada Isnin lepas telah menyebabkan harga RON95 meningkat 20 sen seliter kepada RM2.10 berbanding RM1.90 sebelum ini.
Menurut Hasan, peniaga yang dilihat cuba mencari untung ekoran pemotongan subsidi berperingkat ini boleh dikenakan tindakan dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kita akan menjalankan operasi penguatkuasan untuk memastikan para peniaga mengikut peraturan dan undang-undang yang ada,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang kini sedang berada di Nanning, China menghadiri Ekspo China-Asean ke-10 berkata, pemotongan subsidi secara berperingkat itu perlu untuk mengawal kadar defisit negara.
Beliau berkata, subsidi ketika ini untuk petrol dan diesel sememangnya memberikan kemudahan kepada rakyat Malaysia tetapi jika diberikan terlalu banyak, ia akan menjadikan negara bankrap.
“Isu subsidi sebenarnya satu isu yang kompleks, ia memang baik untuk rakyat tetapi pada masa yang sama ia memaksa kerajaan mengeluarkan belanja yang besar.
“Subsidi tahunan petrol dan diesel kini mencecah RM20 bilion, kerajaan mampu memberikan subsidi cuma ia perlu dikawal,” katanya.
Rakyat diharap tidak terus mengkritik dan menyalahkan kerajaan kerana langkah itu dilaksanakan sebagai jalan terbaik untuk masa depan negara.
Sementara itu, kurang 24 jam selepas kenaikan harga minyak kedai yang menawarkan khidmat pemasangan alat penggunaan Gas Semulajadi Untuk Kenderaan (NGV) dihujani panggilan telefon dari pengguna yang mahukan ia dipasang.
Di Ipoh, pemilik sebuah kedai Choy Kuan Fook berkata beliau mula menerima panggilan untuk kedainya iaitu Hup Soon Auto Work Services seawal pukul 7 pagi daripada orang ramai bertanya tentang pemasangan alat NGV.
Kos memasang alat penggunaan NGV itu berjumlah antara RM2,100 hingga RM7,000 bergantung kepada model kenderaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan