Selasa, 24 September 2013

‘Ayahanda’ Seluruh Malaysia Nak Jumpa Zahid

'Ayahanda' Seluruh Malaysia Nak Jumpa Zahid Jelas Isu Kongsi Gelap

Kuala Lumpur – Majlis Permuafakatan Ayahanda Malaysia (PERMAS) akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat bagi menjelaskan isu pembabitan individu bergelar ‘ayahanda’ dalam kumpulan kongsi gelap.

Perkara itu dinyatakan Presidennya Abdul Halim Ali selepas mengambil kira situasi semasa berikutan Op Cantas yang dilancarkan polis sejak 17 Ogos lalu mengaitkan beberapa kes dengan mereka yang bergelar ayahanda sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli jemaah ayahanda seluruh Malaysia.

Katanya, PERMAS menyokong penuh usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan operasi besar-besaran memburu penjenayah, namun pada masa sama kesal dengan tindakan segelintir individu yang menggunakan gelaran ayahanda sehingga mencemarkan kesucian gelaran berkenaan di mata umum.
“Kita akan terangkan kepada Ahmad Zahid kedudukan sebenar pertubuhan serta jemaah berbaiah yang ketika ini mempunyai lebih 1,000 ayahanda.

“Kami yang berdaftar ini langsung tidak pernah terbabit dengan sebarang kegiatan menyalahi peraturan negara sebaliknya menyokong tindakan anggota keselamatan membanteras jenayah.



“PERMAS sentiasa bersedia memberikan kerjasama kepada polis,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penerangan Isu Semasa serta Sumbangan Anak Yatim di sini, semalam.
Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, pihaknya sudah menubuhkan jawatankuasa khas sementara bagi mengkaji semula mekanisme sedia ada termasuk peraturan di dalam pertubuhan sebagai langkah membersihkan imej yang sedikit tercalar ekoran penyalahgunaan gelaran terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan