Isnin, 16 September 2013

Tiga stor barang tiruan diserbu

  • Tiga stor barang tiruan diserbuAbu Samah (tengah) melihat sebahagian kasut dan jersi tiruan yang dirampas dalam serbuan ke atas tiga premis, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Bukan dua lori, tetapi dua treler. Itu gambaran jumlah rampasan kasut dan jersi berjenama tiruan, hasil serbuan dijalankan pihak penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), di tiga lokasi berasingan di Petaling Jaya dan di Kuala Lumpur, kelmarin.

Sebanyak 6,164 pasang kasut dan 590 helai jersi tiruan pelbagai jenama terkenal seperti Adidas; Puma; Converse; Reebok; Lacoste; Timberland; Nike dan Vans dengan nilai lebih RM314,000 dirampas dalam operasi bermula kira-kira jam 2 petang.

Pengarahnya, Abu Samah Shabudin berkata, operasi dijalankan secara serentak itu, dilakukan hasil maklumat pemilik jenama dan risikan pihaknya sejak lebih setahun lalu, bagaimanapun ketika serbuan, tiada penghuni di ketiga-tiga premis berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan invois yang ditemui di kedua-dua stor di Petaling Jaya, ia dipercayai adalah salah sebuah pusat pengendalian pembekal utama kasut berjenama palsu, untuk dibekalkan ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Hasil rampasan bagi kedua-dua stor terletak di rumah kedai ini dipercayai merupakan bekalan disyaki diperoleh dari China, bagi memenuhi permintaan menjelang musim perayaan, dan kita sudah jangkakan perkara ini.

“Kedua-dua stor ini dipercayai mempunyai kaitan antara satu sama lain. Nilai rampasan bagi kedua-dua stor ini adalah RM308,200,” katanya pada sidang media, di pejabatnya, di sini, semalam.

Beliau berkata, serbuan ke atas sebuah kediaman di Kuala Lumpur pula mendapati, ia dijadikan stor bagi membekalkan baju jersi tiruan berjenama Adidas dan dipercayai untuk diedarkan bagi jualan di bazar larut malam sekitar ibu kota dengan rampasan bernilai RM5,900.

“Operasi sama pernah dibuat terhadap pembekal jualan jersi jenama The Red Warrior, di mana kita telah rampas 1,200 helai, sebelum perlawanan berlangsung baru-baru ini dan perkara ini merugikan pasukan bola sepak yang mendaftarkan jersi asli jenama mereka,” katanya.

Operasi diketuai Penolong Pengarah PPDNKK WPKL, Kamaruddin Mohammad Yassin bersama 14 pegawai dan anggota, itu berakhir kira-kira jam 4 pagi semalam, setelah melalui proses pengiraan dan kesemua barangan yang dipindah masuk ke dalam dua treler itu di bawa ke stor penyimpanan di Seremban untuk dijadikan bahan bukti siasatan kes sebelum dilupuskan kelak.

Kes di siasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, di bawah seksyen 8, memperuntukkan mana-mana individu yang menjual, mengedar dan membekal barang yang menggunakan apa-apa perihal dagangan palsu berhubung cap dagangan boleh diambil tindakan.

Untuk rekod, sebanyak 152 kes seumpama itu dengan nilai rampasan berjumlah RM1.047 juta, dicatatkan PPDNKK WPKL, sepanjang tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan