Sabtu, 14 September 2013

Suspek Hukuman Gantung Bolos Gara-gara Polis Cuai

Suspek Hukuman Gantung Bolos Gara-gara Polis Cuai
PETALING JAYA – Seorang lelaki Iran, Rafat Manesh Gavhei Mahmood, 48, yang berdepan hukuman gantung sampai mati mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, melarikan diri dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas sebutan kesnya pagi semalam.
Suspek yang ditahan polis 20 Februari lalu di USJ 8, Subang Jaya dan dibawa semula ke mahkamah semalam untuk sebutan kesnya, bertindak demikian kira-kira jam 10.30 pagi ketika mahu dibawa keluar dari mahkamah dalam keadaan tidak bergari walaupun dikawal anggota polis untuk dihantar semula ke Penjara Sungai Buloh.

Anggota polis tak ikut prosedur
Ketua Polis Daerah Petaling, Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata lelaki Iran itu melarikan diri selepas bergelut dengan seorang anggota polis sehingga koperal berkenaan cedera di tangan.
“Suspek yang bertubuh sasa memakai baju merah, melarikan diri melalui pintu depan mahkamah. Ketika kejadian sistem kamera litar tertutup (CCTV) tidak berfungsi, namun siasatan awal mendapati anggota polis berkenaan tidak mengikut prosedur ditetapkan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Berikutan kejadian itu, katanya, anggota polis dari IPD Subang Jaya terbabit kini ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana cuai ketika menjalankan tugas sehingga menyebabkan tahanan lari, manakala kes tahanan itu disiasat mengikut Seksyen 224 kanun sama iaitu melarikan diri daripada polis. – BERITA HARIAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan