Sabtu, 14 September 2013

Tempoh Biaya Pinjaman Peribadi Paling Lama

debt
KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan tidak akan mengkaji semula tempoh maksimum pinjaman peribadi serta pembiayaan pembelian rumah untuk kakitangan kerajaan.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (gambar) berkata, tempoh pembiayaan semula pinjaman peribadi selama 10 tahun adalah yang paling lama pernah dicatatkan di dunia kerana kebanyakan negara hanya menetapkan tempoh maksimum enam tahun saja.
“Tempoh 10 tahun itu sudah cukup panjang untuk tempoh maksimum pinjaman peribadi kerana jika mereka membuat pinjaman contohnya untuk membeli televisyen atau mengadakan majlis perkahwinan, ia akan habis dalam tempoh beberapa hari saja.
“Kita tidak mahu mereka dibebankan dengan perbelanjaan yang hanya dihabiskan dalam masa singkat,” katanya.
Menurutnya, ia berbeza dengan pinjaman perumahan di mana ia adalah aset dan menjadi milik mereka selepas tempoh pembiayaan tamat.
“Kami tidak mahu mereka terus terbeban untuk tempoh 10, 15 atau 20 tahun hanya untuk membayar hutang pinjaman peribadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang mendesak BNM supaya menangguhkan arahan penetapan tempoh maksimum pinjaman peribadi serta pembiayaan pembelian rumah untuk kakitangan kerajaan.
Baru-baru ini BNM mengeluarkan peraturan baru untuk tempoh maksimum pembiayaan pinjaman peribadi ke tempoh 10 tahun berbanding 25 tahun yang dilaksanakan sebelum ini.
Zeti berkata, pihaknya tidak akan menimbangkan untuk mengkaji semula tempoh berkenaan dan akan tetap menetapkan tempoh pembiayaan selama 10 tahun saja.
“BNM tidak akan mengkaji semula tempoh yang ditetapkan dan ia adalah muktamad,” katanya. – HARIAN METRO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan