Isnin, 16 September 2013

Ditahan lepas 3 tahun sembunyi

  • Ditahan lepas 3 tahun sembunyiMohd Azahari mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen semalam, atas tuduhan merogol seorang remaja bawah umur.

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh binaan yang bersembunyi selama tiga tahun selepas merogol seorang remaja bawah umur terpaksa akur apabila berjaya ditahan polis sebelum dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Mohd Azahari Omar, 30, dari Kampung Pulau Hitam, Belara, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap pertuduhan merogol mangsa yang ketika itu baru berusia 15 tahun.

Mohd Azahari mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam sebuah bilik tidur di Kampung Binjai Manis, Manir, antara jam 9 hingga 9.40 malam, pada 30 Ogos 2010.

Dia mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya, Zalina Awang @ Mamat di hadapan hakim Aslam Zainuddin.

Sejurus pengakuan tidak bersalah Mohd Azahari direkodkan, Aslam menetapkan 10 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Aslam turut membenarkan Mohd Azahari diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan