Followers

Ahad, 8 September 2013

Kumpulan Pertama Jemaah Haji Berlepas Pagi Sabtu


Kumpulan Pertama Jemaah Haji Berlepas Pagi Sabtu
KUALA LUMPUR – Penerbangan haji pertama berlepas 1.30 pagi Sabtu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah, Arab Saudi dengan 450 jemaah.
Penerbangan melalui Saudi Airlines SV5501 itu mengambil masa lapan jam dan dijangka tiba di Madinah pukul 11 pagi waktu Malaysia.

Kesemua jemaah haji sebelum itu diberi taklimat ringkas di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya pada kira-kira 9.30 malam oleh Pengerusi Kumpulan Tabung Haji Datuk Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan serta Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Paduka Ismee Ismail.
Sejumlah 22,320 jemaah akan menunaikan Rukun Islam kelima itu tahun ini dan bertolak secara berperingkat mulai awal pagi ini, termasuk menggunakan Malaysia Airlines (MAS).
Penerbangan terakhir ke Madinah ialah pada 9 Oktober ini manakala fasa kedua, iaitu operasi membawa balik jemaah haji, akan bermula 21 Oktober ini dan penerbangan pulang ke tanah air terakhir ialah pada 18 November. Pengarah Operasi Kelana Jaya Md Ridza Md Zain, dalam kenyataan media, menyebut terdapat tujuh stesen pelepasan haji kali ini selain KLIA iaitu Senai, Bayan Lepas, Alor Setar, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu.
Beliau berkata terdapat 1,200 petugas haji di tanah air dan 564 orang bagi penugasan kebajikan serta perubatan di tanah suci.
Sementara itu, seorang jemaah, Zainal Abidin Wagiman, 67, dari Teluk Panglima Garang, Selangor bersyukur kerana hasrat menunaikan haji bersama isterinya, Marpunga Omar, 63, tercapai.
“Kami menunggu sekian lama untuk giliran dan akhirnya tiba hari ini. Perasaan berdebar-debar, dan pelbagai persiapan telah disiapkan sebelum ini,” katanya.
Seorang lagi jemaah, Zainuddin Ismail, 40, dari Kota Baharu, Kelantan berkata beliau mendaftar untuk menunaikan haji sejak berumur 18 tahun dan bersyukur terpilih tahun ini.
“Berkat kesabaran, akhirnya impian saya tercapai jua. Terima kasih kepada Tabung Haji, keluarga dan rakan yang mendoakan pemergian saya,” katanya.
Sementara itu, Azeez ketika ditemui pemberita selepas pelepasan jemaah haji itu, berkata sebanyak 64 penerbangan disediakan tahun ini di beberapa lapangan terbang antarabangsa tempatan.
“Ia melibatkan 38 di KLIA, masing-masing lima di Alor Setar, Kuala Terengganu dan Pulau Pinang, tujuh di Johor dan masing-masing dua di Sabah dan Sarawak,” katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan