• Cuba gantung diri kerana anak dan menantuSuspek (kiri) ditenangkan Mohd Najib ketika berada di rumahnya.
 1 / 1 
KULIM - Gara-gara kecewa dengan sikap anak dan menantu yang sering memarahinya, seorang lelaki warga emas berusia 70-an, bertindak cuba menggantung diri kira-kira jam 5 pagi di rumahnya, di Taman Selasih kelmarin.

Warga emas berkenaan cuba menggantungkan diri di bilik belakang rumah berkenaan.

Curiga dengan kelakuan suspek, isterinya memaklumkan kejadian itu kepada Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) sebelum dimaklumkan kepada polis.

Polis dari Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) kemudiannya cuba memujuk mangsa supaya tidak melakukan perbuatan itu.

Suspek berkata, sebelum ini dia tinggal bersama isterinya, selepas anak lelakinya berkahwin, mereka menumpang di rumahnya sehingga mempunyai dua anak.

“Saya kecewa kerana anak sering memarahi dan tidak menghormati saya sebagai seorang bapa.

"Lebih kecewa apabila anak mereka turut berkelakuan sama dan mereka pernah meludah ke muka saya," katanya.

Menurutnya, anaknya sering memarahi apabila dia mengecas bateri telefon.

"Mereka menuduh saya banyak menggunakan elektrik.

"Bagaimanapun apabila perbuatan sama dilakukan mereka, tidak ada sesiapa yang hendak menegur," katanya.

Katanya, dia turut dimarahi kerana memasang penyaman udara buat cucunya yang sedang tidur.

Dalam nada kecewa, suspek menyatakan anaknya tidak seharusnya berkelakuan sedemikian kerana menumpang di rumahnya.

Sub Inspektor Mohd Najib Abdul Aziz mengambil masa 10 minit untuk menenangkan suspek dan meminta supaya tidak mengulangi perlakuan seperti itu di masa akan datang.