Ahad, 8 September 2013

Baru Bebas P’jara, Diberkas Lakukan Jenayah Sama

Curi Motosikal
Laman Facebook Kempen Kesedaran Jenayah Malaysia hari ini berkongsi berita mengenai seorang banduan yang baru dibebaskan dari penjara tetapi kembali ditahan melakukan jenayah yang sama.
Menurut satu laporan berita Bornoe Post, seorang bekas banduan yang baru dibebaskan selepas dipenjarakan tujuh bulan atas kesalahan mencuri motosikal mungkin akan kembali dipenjarakan selepas ditangkap melakukan jenayah sama Jumaat lepas.
Suspek berusia 21 tahun dikatakan berasal dari Serian, Sarawak ditahan polis selepas motosikal yang ditunggang bersama seorang lelaki terlibat dalam satu kemalangan.
Motosikal itu bertembung dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Green kira-kira pukul 5.30 petang.

Suspek cedera ringan ekoran pelanggaran itu dan ditinggalkan keseorangan oleh rakan yang membonceng untuk melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota polis.
Aksi mencurigakan rakan suspek membuatkan polis menjalankan pemeriksaan ke atas motosikal dan ia dilaporkan hilang di Jalan Mersawa di Bintawa pada 28 Ogos.
Suspek ditahan dan dibawa ke Hospital Besar Sarawak untuk mendapatkan rawatan sebelum dihantar ke lokap untuk membantu siasatan.
Pada hari yang sama dalam kes berlainan, seorang lelaki dari Kampung Sinar Budi, Batu Kawa turut ditahan disyaki memiliki motosikal curi selepas pihak polis mendapati dia menunggang motosikal berkenaan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Datuk Tawi Sli.
Polis mengekori motosikal suspek sehingga sampai ke sebuah stesen minyak sebelum diminta berhenti untuk pemeriksaan.
Suspek kemudian melarikan diri dan meninggalkan motosikalnya bagaimanapun dapat diberkas polis.
Pemeriksaan lanjut ke atas motosikal mendapati ia telah dipasang dengan nombor plat palsu dan dilaporkan dicuri di Batu Kawah pada April tahun lepas.
Lelaki itu juga sudah ditahan untuk membantu siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan