KOTA BHARU - Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan senjata terhadap seorang warga emas di Kampung Sireh Bawah Lembah di sini, bulan lalu.

Kedua-duanya bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Mohd Yusuff Yunus.

Mohd Insaf Mat Zain, 31, dan Mohd Adlee Ibrahim Shuhimi, 33, didakwa merompak Mamat @ Mohammad Yasok,63, dengan mengambil barang kemas iaitu dua rantai, tiga gelang, tujuh cincin, empat lokat dan tiga kerongsang.

Turut dirompak, satu set barangan kemas berlian dan empat telefon bimbit.

Kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah hari, 21 Julai. Ketika itu, mereka bersenjatakan pistol dan lawi ayam.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Mohd Insaf adalah duda dua anak yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,000 sebulan sementara Mohd Adlee pula seorang kontraktor dengan pendapatan RM3,000 sebulan.

Tarikh 23 September depan ditetapkan sebagai sebutan semula untuk serahan dokumen.